Monday, October 1, 2007

ABOUT US & ARTICLE

PENGENALAN

Bermula sebagai hobi sejak tahun 2005, perkembangan kamera SLR digital telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dan juga ramai yg telah beralih kepada kerjaya photographer sebagai punca pendapatan. areminephotography juga tidak ketinggalan terkena tempiasnya. Sehinggalah pada tahun 2006, saya telah mengambil keputusan untuk menceburi bidang fotografi walaupun secara sambilan..

KENALI AREMINEPHOTOGRAPHY

areminephotography berpusat Kuala Lumpur dan beroperasi dari utara ke selatan juga Sabah & Sarawak. areminephotography membuat liputan majlis perkahwinan, keraian, commercial shoot, product shoot dan majlis-majlis makan malam dengan jurufoto yang menjanjikan kepuasan dalam menghasilkan gambar yang berkualiti dari segi eye of seing, konsep fotografi yang areminephotography terapkan adalah berdasarkan konsep formal & candid.

setakat ini areminephotography hanya diterajui oleh seorang photographer iaitu pemilik tunggal jenama areminephotography iaitu En. Mohd Amin Razali. Moto utama kami adalah memberi kepuasan maksima kepada bakal pelanggan. Kualiti kami pelihara supaya bakal mendapat manfaat apa yang kami hasilkan...

ARTIKEL

Artikel-artikel seterusnya saya pilih utk membantu pilihan anda dalam memilih jurugambar..artikel ini saya ambil dari seorang yg saya memang kagumi dan tidak asing lagi hasil kerjanya, beliau juga yang telah mengajar saya bagaimana menjadi seorang photographer yg mahir dalam bidangnya...

Kredit for saudara Hasnudin http://www.adan.biz/

ARTIKEL 1

Bagaimana Memaksimumkan Peranan Jurugambar Anda

Sudah menjadi kemestian ketika ini, setiap majlis perkahwinan pasti memerlukan perkhidmatan jurugambar untuk merakam detik-detik manis hari bahagia pasangan mempelai. Biasanya, jurugambar profesional akan diupah bagi melaksanakan tugas penting ini. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Persoalannya, apakah yang anda perlu lakukan untuk mendapat hasil yang setimpal dengan wang yang telah anda belanjakan?


Pertama sekali, anda perlu memilih jurugambar yang terbaik berdasarkan bajet dan citarasa anda. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh supaya anda benar-benar faham tentang apa yang bakal anda perolehi. Nyatakan kehendak anda kepada jurugambar dan pastikan beliau menulis apa yang telah dipersetujui bersama. Perbincangan awal ini amat penting kerana ianya akan memberi kesan kepada seluruh proses selepas ini.


Baiklah, sekarang anda telah mendapatkan jurugambar yang terbaik pilihan anda. Beliau semestinya seorang yang profesional dan anda yakin akan kebolehannya. Jurugambar anda sepatutnya tahu apakah tugas-tugas beliau. Tetapi, dengan sedikit peranan dari pihak anda sendiri, anda boleh memaksimumkan peranan jurugambar anda.


Sepanjang pengalaman saya sebagai jurugambar perkahwinan, saya mengakui sehandal mana pun seseorang jurugambar itu, beliau tidak akan dapat menghasilkan gambar yang hebat tanpa adanya beberapa faktor penting yang lain.Contohnya, cuba bayangkan bagaimana agaknya hasil gambar yang dirakam sekiranya sepanjang majlis perkahwinan, pengantin perempuan kelihatan kelam kabut dan bermasam muka?


Rancang dengan teliti aturcara majlis perkahwinan anda. Beri ruang masa yang selesa untuk setiap acara. Dapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi menguruskan majlis anda dari peranan kecil hinggalah yang besar. Lebih baik lagi jika anda boleh melantik seorang pembantu untuk berurusan dengan jurugambar. Maklumkan dengan terperinci tentang aturcara majlis kepada jurugambar anda. Dengan ini, majlis anda akan berjalan lancar dan gambar majlis anda akan dapat dirakam dengan sempurna.


Pasangan pengantin perlu mendapat rehat yang cukup sebelum majlis perkahwinan. Serahkan segala urusan untuk majlis perkahwinan kepada orang yang anda percayai. Anda cuma ada satu peranan penting pada majlis perkahwinan anda, iaitu – bergembira!


Masa terbaik untuk merakam gambar potret adalah sejurus selepas pengantin siap dimekap. Anda perlu mengatur masa supaya jurugambar sempat merakam gambar potret anda sebelum sesuatu acara bermula. Biasanya, untuk acara resepsi di hotel, pasangan pengantin akan kesuntukan masa untuk merakam gambar potret kerana akan digesa turun ke dewan. Alasan yang akan diberi ialah, “tetamu kehormat sedang menunggu” atau “lepas bersanding nanti kita bergambar”. Tetapi, sebagai jurugambar yang menjalankan tugas, saya akan menjelaskan, “harap tetamu kehormat boleh menunggu 5 minit kerana anda raja sehari perlu bergambar untuk kenangan seumur hidup, dan jika gambar potret anda dirakam selepas tamat majlis, anda akan kelihatan letih dan sudah hilang seri.” Sayang sekali jika saat penting dan ceria ini tidak dapat dirakam. Matlamat jurugambar hanyalah untuk menghasilkan gambar yang terbaik untuk anda.


Ada pengantin yang kekok apabila berhadapan dengan kamera. Anda boleh jadikan diri anda lebih cantik di dalam gambar dengan sedikit latihan. Lihat wajah anda di dalam cermin dan berlatihlah untuk senyum. Senyum yang bagaimanakah akan membuatkan anda kelihatan lebih cantik. Bayangkan diri anda adalah seorang model. Dapatkan ekspresi wajah yang pelbagai untuk anda lakukan ketika bergambar nanti. Anda juga perlu berlatih untuk ‘posing’. Rujuk majalah untuk mendapat idea. Namun, yang paling penting sekali, anda hendaklah menjadi diri anda sendiri dan berasa selesa dengan penampilan anda.


Setelah majlis anda selesai, biasanya jurugambar akan mengambil masa di antara satu hingga 2 minggu untuk menyiapkannya. Ini termasuklah proses suntingan, cetakan, penyusunan dalam album dan sebagainya. Kerja ini perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin kualiti yang baik. Oleh itu, janganlah menggesa supaya gambar anda disiapkan lebih cepat dari masa yang dijanjikan kerana ianya akan memberi kesan kepada kualiti gambar anda.

Artikel 2

10 Soalan Yang Anda Perlu Tanya Kepada Jurugambar Atau Juruvideo Anda

Soalan 1

Berapa lamakah pengalaman anda dalam bidang fotografi perkahwinan?Pengalaman adalah faktor penting bagi mengukur tahap kemahiran seseorang jurugambar. Jurugambar yang kurang berpengalaman biasanya mengenakan harga yang lebih rendah.

Soalan 2

Adakah anda menggunakan peralatan digital atau analog?Teknologi terkini memperlihatkan penggunaan peralatan fotografi dan video digital. Tetapi, penggunaan sistem analog juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Terpulang kepada citarasa anda.

Soalan 3

Bolehkah saya lihat contoh hasil kerja anda?Ini adalah antara soalan yang paling penting untuk memilih jurugambar atau juruvideo. Dengan melihat contoh gambar beliau, anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa yang akan anda perolehi. Cuma, pastikan gambar yang ditunjukkan adalah hasil kerja beliau yang tulen.

Soalan 4

Apakah gaya fotografi atau videografi anda?Setiap karya jurugambar atau juruvideo mempunyai gaya mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan pasangan pengantin yang mempunyai citarasa yang berbeza terhadap gambar. Pilih jurugambar yang boleh merakam gambar mengikut citarasa anda.

Soalan 5

Berapakah harga yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda?Harga yang dikenakan perlulah sesuai dengan bajet anda. Nilai samada harga yang dikenakan berbaloi dengan perkhidmatan yang akan anda perolehi. Sekiranya perlu, runding harga dengan jurugambar anda.

Soalan 6

Adakah apa-apa syarat lain atau bayaran tambahan yang akan dikenakan?Tanya soalan ini untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan hati di kemudian hari. Ini kerana setiap orang jurugambar mempunyai syarat kerja dan syarat harga yang tersendiri.

Soalan 7

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan gambar?Nyatakan kepada jurugambar sekiranya anda amat memerlukan gambar anda disiapkan segera. Ini bagi membolehkan jurugambar anda merancang masa beliau sendiri. Sekiranya tidak perlu, beri masa yang mencukupi kepada jurugambar anda untuk menyiapkan gambar anda tanpa perlu tergesa-gesa.

Soalan 8

Dalam bentuk apakah gambar siap akan diberi?Gambar foto biasanya dicetak ke saiz 4R dan gambar video akan diberi dalam format VCD atau DVD. Maklumkan kepada jurugambar atau juruvideo anda sekiranya anda memerlukan bentuk lain.

Soalan 9

Adakah negatif atau imej asal akan diberi?Imej asal foto biasanya adalah dalam bentuk negatif bagi kamera analog dan fail jpeg bagi kamera digital. Manakala imej asal video adalah dalam bentuk pita video. Imej asal ini penting sekiranya anda ingin mencetak atau menyunting kembali gambar perkahwinan anda di kemudian hari. Ada jurugambar yang memberi imej asal secara percuma dan ada yang akan mengenakan bayaran.

Artikel 3

Untuk Apakah Anda Membayar Jurugambar Anda

Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:

1) Kos Peralatan KameraUntuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.

2) Kemahiran JurugambarUntuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.

3) Masa PerkhidmatanJurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.

4) Perkhidmatan Selepas RakamanSetelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan.

5) Kos materialSelain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.

Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.

Artikel 4

7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Fotografi Perkahwinan

1) ‘Photographer’ atau ‘cameraman’Sebenarnya, perkataan ‘photographer’ dan ‘cameraman’ merujuk kepada dua kerjaya yang berbeza. ‘Photographer’ atau jurugambar adalah orang yang merakam gambar foto. Manakala ‘cameraman’ atau jurukamera adalah orang yang merakam gambar video. Jadi, gunakan istilah yang betul agar tidak timbul kekeliruan dalam komunikasi anda.

2) Fotografi digital & analogFotografi digital menggunakan kaedah merakam gambar foto tanpa menggunakan filem. Fotografi analog pula memerlukan filem sebagai alat untuk merakam gambar. Penggunaan kamera digital amat meluas pada masa kini kerana ianya amat memudahkan kerja jurugambar, sekaligus membantu jurugambar merakam gambar dengan lebih baik. Sekiranya gambar anda dirakam dengan kamera analog, anda perlukan negatif untuk membuat cetakan gambar. Namun, jika kamera digital digunakan, anda perlukan fail jpeg atau lain-lain fail imej untuk membolehkan gambar itu dicetak. Fail gambar ini biasanya disimpan di dalam CD. Gambar dari kamera digital hanya boleh dicetak di kedai gambar digital.

3) ‘Photojournalistic style’ & gaya fotografi tradisionalRakaman gambar perkahwinan dengan pendekatan ‘photojournalist’ semakin diminati ketika ini. Gaya fotografi ini memperlihatkan banyak rakaman gambar kandid dengan aksi bersahaja. Setiap perkara akan dirakamkan seperti mana ianya berlaku tanpa arahan dari jurugambar. Antara teknik yang digunakan adalah penggunaan cahaya semulajadi yang membuatkan sesuatu gambar itu lebih realistik. Gaya fotografi tradisional pula adalah pendekatan rakaman gambar yang lebih tertumpu kepada rakaman potret pasangan pengantin dan perkara lain yang berkaitan secara terus denga sesuatu majlis perkahwinan. Namun, selain dari gaya yang disebutkan, terdapat banyak lagi pecahan gaya lain dalam rakaman gambar perkahwinan.

4) Album ‘sticky’, poket dan eksklusifAlbum ‘sticky’ adalah album dimana kita boleh melekatkan gambar di atas mukasuratnya dan kemudian gambar tersebut akan dilitupi oleh helaian plastik nipis. Album poket atau ‘slip-in’ pula adalah album yang sudah siap mempunyai ruang berpoket untuk kita menyisip gambar ke dalamnya. Kini, dengan perkembangan teknologi fotografi digital, sejenis lagi album gambar telah diperkenalkan. Album gambar ini mampu mempersembahkan gambar foto dengan cara yang sangat menarik. Album gambar ini dikenali dengan beberapa nama seperti ‘exclusive album’, ‘digital album’, ‘special album’, ‘storyboard album’ dan sebagainya. Secara umumnya, album ini bersaiz 8 X 10 inci atau lebih besar. Gambar-gambar di dalamnya akan disusun atur dengan saiz dan kesan khas yang pelbagai.

5) Saiz gambarTerdapat berbagai saiz gambar yang biasa digunakan. Gambar 3R bersaiz 3 X 5 inci adalah satu saiz yang popular satu masa dulu, kini digantikan dengan saiz 4R iaitu 4 X 6 inci. Gambar saiz ini biasanya sesuai dimuatkan ke dalam album. Untuk saiz yang lebih besar yang sesuai dipaparkan dalam bingkai untuk hiasan meja adalah 5R ( 5 X 7 inci ) dan 8R ( 8 X 10 inci ). Gambar yang lebih besar dan sesuai untuk bingkai hiasan dinding adalah saiz 11R ( 11 X 14 inci ) atau 16R ( 16 X 20 inci ). Anda juga boleh cuba membesarkan gambar dengan saiz ‘panoramic’ atau ‘square’ untuk mendapatkan kelainan pada paparan gambar anda. Satu perkara penting yang harus diingat sebelum membesarkan gambar ialah, anda perlu pastikan yang gambar tersebut benar-benar tajam dan beresolusi tinggi. Jika tidak, gambar tersebut akan kelihatan kabur setelah dibesarkan.

6) Pembantu jurugambarAda jurugambar yang menggunakan pembantu jurugambar apabila melakukan tugasan merakam gambar perkahwinan. Pembantu jurugambar penting untuk membolehkan jurugambar bekerja dengan lebih efisyen. Jurugambar akan memberi sepenuh tumpuan kepada aspek artistik sesuatu subjek, manakala pembantu jurugambar akan membantu dari aspek teknikal. Namun, cara kerja ini melibatkan kos tambahan pada harga perkhidmatan fotografi yang diberikan.

7) Gambar hitam putih dan sepiaGambar hitam putih dan sepia ( warna coklat ) kini semakin diminati. Ianya memberikan sentuhan klasik atau nostalgia pada sesebuah gambar. Namun, kebanyakan gambar hitam putih atau sepia ketika ini tidak melalui proses yang tulen sebagaimana gambar hitam putih yang sebenarnya. Ini kerana, kos untuk menghasilkan gambar hitam putih yang tulen adalah lebih tinggi dari kos untuk menghasilkan gambar warna. Gambar hitam putih yang asli dihasilkan dengan merakam gambar menggunakan filem hitam putih dan dicetak di atas kertas hitam putih juga. Tona gambarnya lebih baik dan ianya tahan lebih lama. Kebanyakan gambar hitam putih sekarang ini dihasilkan dengan merakam gambar dengan kamera digital. Kemudian, gambar tersebut diubahsuai menjadi hitam putih di dalam komputer dan seterusnya dicetak seperti biasa.